Air Selangor perkasa pelaburan dan komited untuk meningkat mutu perkhidmatan bekalan air kepada pengguna

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) meneruskan usaha bagi menjamin sistem perkhidmatan bekalan air terawat yang bersih dan selamat terus diperkasa melalui pelaburan yang besar dan konsisten.  Inisiatif ini mampu memberi kelegaan dan nafas baharu kepada 9.1 juta pengguna perkhidmatan di sekitar Selangor, ibu kota dan Putrajaya. 

Ini kerana masalah bekalan air yang dihadapi oleh penduduk seperti masalah tekanan air rendah selain gangguan bekalan air akan bertambah baik apabila kerja-kerja menaik taraf dan penambahbaikan aset menerusi pelaburan berterusan sedang giat dilaksanakan.

Sebagai usaha penambahbaikan ini, sepanjang 556 kilometer (km) saluran paip sudah pun diganti setakat ini yang bersamaan dengan 10 peratus daripada 6,000km paip usang yang perlu diganti. Hasilnya, Indeks Paip Pecah (PBI) menunjukkan penurunan besar sebanyak 75 peratus kepada 5.35 kes paip pecah bagi setiap 100km pada 2022 berbanding 20.48 kes paip pecah bagi setiap 100km pada 2016.

Apabila kadar PBI semakin menurun, maka insiden gangguan bekalan air juga akan semakin berkurangan. 

Bekalan air berdaya tahan

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir. Abas Abdullah, perkhidmatan bekalan air yang baik dan cekap boleh dicapai sekiranya gangguan bekalan air dapat dikurangkan ke tahap yang minima. Ini amat penting lebih-lebih lagi untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang merupakan nadi ekonomi dan pelaburan negara.

Menurut laporan Invest Selangor, sebagai kawasan ekonomi terbesar di negara ini, Selangor menyediakan infrastruktur maju untuk kelompok industri utama. Sebagai hab pelaburan mantap ia didorong dengan sokongan kerajaan negeri yang cemerlang dan ekosistem komersial maju. “Dalam hal ini, sebagai salah sebuah penyedia perkhidmatan terpenting, Air Selangor akan terus memainkan peranan utama dalam penyediaan pembekalan air yang mencukupi dan lestari bagi menyokong inisiatif kerajaan negeri Selangor dalam usaha membuka kawasan baharu seperti Pembangunan Serantau Bersepadu Selatan Selangor (Integrated Development Region in Southern Selangor – IDRISS) dan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (Sabak Bernam Development Area – SABDA).

“Bagi memastikan keadaan ini tercapai, pelaburan berterusan untuk menambah baik sistem perkhidmatan ar adalah penting untuk menyokong perbandaran pesat di Selangor, ibu kota dan Putrajaya,” katanya.

Kerja naik taraf, penambahbaikan

Tambah beliau, melalui pelaburan berterusan, penyedia perkhidmatan air boleh memperuntukkan dana dengan lebih baik ke arah menaik taraf loji rawatan air, meluaskan rangkaian pengagihan dan mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW).

Pada masa sama, pelaburan dapat membantu membina kecepakan digital dan transformasi Air Selangor dengan mengguna pakai aplikasi serta teknologi yang maju, cekap, dan meningkatkan mutu perkhidmatan pelanggan.  

 “Ini akhirnya akan menyumbang kepada tahap perkhidmatan lebih baik, standard kualiti air yang konsisten dan gangguan air berkurangan,” katanya.

Projek tingkatkan kapasiti

Bagi memenuhi permintaan bekalan air pada masa hadapan serta meningkatkan margin rizab air, Air Selangor telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran, selain membantu menampung keperluan air terawat yang bersih dan selamat.

Antara yang sedang dijalankan adalah Skim Bekalan Air Rasau Peringkat 1 yang dijangka siap pada 2025 dan bakal menambah sebanyak 700 juta liter air sehari sekali gus memanfaatkan kira-kira 467,000 akaun pengguna di sekitar daerah Klang dan Kuala Langat.

Selain itu, Air Selangor juga menjalankan projek Skim Bekalan Air Rasau Peringkat 2 yang mempunyai kapasiti 700 juta liter air sehari dijangka siap pada 2030. Kedua-dua projek itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM3.42 bilion dan RM2.12 bilion.

Bukan itu sahaja, pada masa sama, pihak Air Selangor juga menjalankan projek Skim Bekalan Air Langat 2 Fasa 2 yang akan dilaksanakan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dengan kapasiti 1,130 juta liter sehari dan dijangka siap pada 2028 dengan anggaran kos sebanyak RM3.42 bilion.

Selain itu, Skim Bekalan Air Labohan Dagang Fasa 2 berkapasiti 200 juta liter sehari pula dijangka siap pada 2029 dengan anggaran kos sebanyak RM480 juta.

Dengan penambahan projek terbabit, ia bakal menjadikan jumlah keupayaan pengeluaran air berdasarkan reka bentuk loji rawatan air meningkat kepada 8,765 juta liter sehari pada 2030, berbanding 6,035 juta liter sehari sekarang.  

 Dengan itu, margin simpanan air keseluruhan untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga dijangka bakal meningkat daripada 11.9 peratus kepada 17.7 peratus menjelang 2030. 

“Justeru, menyediakan perkhidmatan pembekalan air yang terbaik kepada para pengguna serta sentiasa bersedia untuk memenuhi permintaaan bekalan yang tinggi tentunya memerlukan pelaburan yang berterusan,” menurut Abas.

Diterbitkan oleh Berita Harian pada 31 Ogos 2023