Disiarkan pada
#SembangKalauBimbang Pupuk Kesihatan Mental Individu
Isu kesihatan mental sering menjadi antara punca utama yang menjejaskan kesejahteraan fizikal dan sosial seseorang individu.
Tekanan secara fizikal, sosial dan persekitaran adalah antara gejala dan tanda kesihatan mental seseorang individu yang tidak seimbang.
Keadaan ini disebabkan oleh kesukaran untuk menyesuaikan diri untuk menangani sesuatu tekanan yang boleh mempengaruhi kesihatan fizikal dan menjejaskan emosi individu.
Meski kesedaran mengenai kesihatan mental semakin meluas, tetapi stigma terhadap individu yang mengalami masih menebal dalam kalangan masyarakat.
Oleh itu, bersempena ‘Hari Kesihatan Mental Sedunia’ pada 10 Oktober lalu, Air Selangor telah melancarkan program #SembangKalauBimbang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan mempromosikan kesejahteraan mental di seluruh negara.
Program #SembangKalauBimbang ini adalah sebuah inisiatif kepada masyarakat untuk berbincang tentang masalah kesihatan mental secara meluas tanpa ada rasa takut atau malu.
Inisiatif ini dianjurkan bagi mengurangkan stigma masyarakat sekeliling mengenai kesihatan mental dan mendorong individu untuk mencari bantuan sekiranya diperlukan.
Ini kerana antara langkah yang boleh diambil oleh individu dengan masalah kesihatan mental adalah berjumpa pakar atau sentiasa berkongsi masalah dengan individu yang boleh dipercayai seperti yang diketengahkan dalam inisiatif ini.
Melalui inisiatif #SembangKalauBimbang, individu boleh berbual antara satu sama lain atau menggunakan media sosial sebagai ruang yang selamat dan terbuka dalam kalangan rakan terdekat untuk terlibat secara aktif dalam perbualan mengenai kesihatan mental.
Untuk menjayakan inisiatif ini, Air Selangor telah bekerjasama dengan beberapa organisasi seperti Selangor FC, usahawan sosial We Love You Box dan badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA), NYAWA dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Selangor.
Ini adalah untuk memastikan inisiatif ini mampu memberikan kesan secara holistik, bukan sekadar menyediakan ruang selamat untuk berkongsi tetapi meliputi saluran sokongan kepada keperluan sumber dan sukarelawan.
Inisiatif ini turut menggunakan simbolik air sebagai analogi yang menunjukkan kepentingan air dalam kehidupan seharian manusia dan sebagaimana ia sentiasa diperlukan dalam kehidupan kita, begitu juga kesihatan mental.
Melalui simbol air, setiap individu bertanggung jawab untuk menyebarkan kesedaran dan menggalakkan perbualan terbuka mengenai kesihatan mental.
Inisiatif ini turut menampilkan penyertaan pempengaruh seperti Ustaz Mizi Wahid dalam usaha menyampaikan mesej positif dan membantu mengubah persepsi negatif untuk menyuarakan masalah atau isu kesihatan mental yang dihadapi mereka.
Selain itu, individu turut disarankan untuk mengakses sumber bantuan professional sedia ada seperti kaunseling atau perkhidmatan sokongan kesihatan mental bagi mereka yang memerlukan bantuan profesional.
Orang ramai boleh berkongsi melalui aplikasi TikTok atau Instagram dan rakam pengalaman peribadi, kisah atau solusi dalam menangani isu mental bersertakan tanda pagar #SembangKalauBimbang.
Diterbitkan oleh Berita Harian Online pada 15 November 2023: Berita Harian Online