Yakini Air Kita 2028

Membina Amanah

Aqua Pura bermaksud air tulen dalam bahasa Latin. Air merupakan satu khazanah alam yang berharga di dunia kerana ia memberi kehidupan kepada manusia, haiwan dan alam semula jadi. Di peringkat global, sumber air adalah terhad disebabkan oleh pencemaran dan kekurangan pengurusan yang betul yang mencerminkan nilai penuhnya. Ini telah menyumbang kepada kemerosotan tamadun dan mengancam daya maju komuniti, bandar dan negara hari ini.

Kami di Air Selangor, komited untuk memberikan Pengalaman Pelanggan Terbaik kepada pengguna kami melalui air yang bersih dan selamat untuk diminum. Sebagai operator air terbesar di negara ini, Air Selangor memberi perkhidmatan kepada lebih 2.6 juta akaun pelanggan (≈ 9.1 juta pengguna) di seluruh Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan jajaran paip sepanjang  30, 422 kilometer.

Pada tahun 2020, Air Selangor telah merangka pelan Yakini Air Kita 2028, satu inisiatif holistik jangka panjang untuk memastikan bekalan air bersih dan selamat diminum. Inisiatif ini diterajui oleh empat (4) teras utama:

  1. pemeliharaan sumber air mentah,
  2. pengawalan dan pemantauan kualiti air,
  3. meningkatkan kapasiti dan kemampuan makmal melaksanakan diagnosis, dan
  4. pemeliharaan rawatan kualiti air terawat.

Pelbagai dasar mengenai strategi dan pelan operasi yang mengawal aspek kemampanan, kualiti air dan penyeliaan pencemaran juga telah dibangunkan untuk menyelia Yakini Air Kita 2028.

Cabaran utama yang dialami oleh Air Selangor ialah sumber air minuman dari sungai yang terhad. Terdapat lima (5) kelas sungai di Malaysia, dan Air Selangor hanya dibenarkan mendapatkan sumber air minuman daripada sungai yang dikategorikan dalam Kelas I, Kelas II dan Kelas III. Had sumber ini bercanggah dengan dilema penduduk yang semakin meningkat di mana permintaan melebihi penawaran.

Air Selangor mempunyai peranan penting untuk mengurus dan melindungi kawasan tadahan dan laluan air yang bebas daripada risiko pencemaran, dan membentuk keselamatan air untuk Negeri dan Negara. Mencapai keseimbangan yang mampan antara bekalan dan permintaan, dan memastikan bekalan air bersih dan selamat berterusan adalah ikrar jenama Air Selangor iaitu ‘Setiap Titis Bermakna’ atau ‘Joy In Every Drop’.

Komitmen untuk Menyediakan Air Minum yang Bersih dan Selamat

Pada 2022, Air Selangor mencapai rekod cemerlang Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu piawaian 99.85 peratus pematuhan Standard Kualiti Air Minum (DWQS) dan 100 peratus pematuhan Program Jaminan Kualiti (QAP). DWQS telah ditetapkan berdasarkan Garis Panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Kualiti Air Minuman, dan ia juga digunakan secara meluas di Singapura, Jepun dan Australia.

Pemantauan Kualiti Air Masa Nyata

Penggunaan teknologi untuk pemantauan kualiti air masa nyata adalah penting untuk memastikan bekalan air yang boleh diminum bersih dan selamat, terutamanya apabila air dibekalkan melalui lebih daripada 30, 000 kilometer saluran paip.

Penganalisis Kualiti Air Pengagihan Hibrid Masa Nyata (HYDRA) ialah stesen pemantauan kualiti air dalam talian yang mengeluarkan isyarat penggera apabila anomali dikesan dalam air untuk menyokong pemulihan kualiti air.

Perkhidmatan Pembersihan Takungan dan Paip

Tahukah anda sebelum bekalan air diagihkan kepada pengguna melalui paip, air tersebut akan disimpan di dalam kolam takungan?

Seperti rumah kita, takungan dan paip perkhidmatan juga memerlukan kerja-kerja penyelenggaraan dari semasa ke semasa untuk memastikan pemeliharaan kualiti air. Aktiviti pembersihan ini dijalankan mengikut jadual, dan akan melibatkan kira-kira 1,600 kolam takungan.

Air Selangor menggunakan dua kaedah pembersihan:

  • Kaedah Pertama: Pembersihan paip tanpa tekanan
  • Kaedah Kedua: Pembersihan paip dengan tekanan

Kaedah pembersihan dijalankan berdasarkan kesesuaian sesebuah kawasan.

Semasa aktiviti pembersihan, penutupan bekalan dan perubahan tekanan boleh menjejaskan tekanan air yang rendah, kemerosotan kualiti air dan gangguan bekalan air sementara. Pengguna di kawasan yang terjejas boleh dapatkan maklumat mengenai status bekalan air semasa, menerusi aplikasi mudah alih Air Selangor.

Mengapakah air yang dilepaskan daripada penapis air berwarna kecoklatan?

Meskipun terdapat pengguna yang merasakan bahawa perlunya memasang penapis air di rumah, yakinlah bahawa air yang dirawat dan diagih oleh Air Selangor mematuhi piawaian yang ditentukan oleh Piawaian Kualiti Air Minum Kebangsaan.

Sebahagian daripada kita mungkin tidak mengetahui bahawa sistem penapisan air yang dipasang di rumah akan menyingkirkan mineral yang baik daripada air semasa proses penapisan dan pengoksidaannya. Ini mengakibatkan sedimen air berwarna kecoklatan yang boleh dilihat semasa proses pencucian berbalik (backwash). Jangan terkejut dengan perkara ini, kerana ini tidak mencerminkan kualiti air yang dibekalkan dan diagihkan oleh Air Selangor.

Penutup

Penyediaan bekalan air bersih dan selamat kepada pengguna sememangnya menjadi tanggungjawab Air Selangor. Air Selangor akan berusaha untuk terus meneroka pelbagai mekanisme inovatif untuk memastikan bekalan air boleh terus dipercayai untuk diminum.

Diterbitkan oleh Malaysiakini pada 31 Mac 2023: Malaysiakini