Air Selangor lakukan pelbagai inisiatif demi pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya

Semenjak tahun 2019, penyedia perkhidmatan air terbesar Malaysia, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) telah menggalas tanggungjawab menyediakan bekalan air terawat yang bersih dan selamat untuk pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Air Selangor yang merupakan gabungan lima syarikat konsesi berbeza sebelum ini dibangunkan bagi memacu dan mencapai objektif strategik utama untuk mengintegrasikan operasi rawatan dan pengedaran air dengan lebih efektif serta cekap.

Sepanjang penubuhan, Air Selangor telah menguruskan lebih 2.5 juta akaun pelanggan meliputi lebih sembilan juta pengguna ataupun satu per empat populasi di negara ini.

Bagi memastikan kepuasan pengguna, pelbagai inisiatif telah dijalankan iaitu mengoptimumkan operasi perniagaan dengan mengusahakan beberapa projek untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran selain membantu menampung keperluan air bersih.

Antara yang sedang dijalankan adalah Skim Bekalan Air Rasau Peringkat 1 yang dijangka siap pada 2025 dan bakal menambah sebanyak 700 juta liter air sehari sekali gus memanfaatkan kira-kira 467,000 akaun pengguna di Wilayah Klang.

Air Selangor juga menjalankan projek Skim Bekalan Air Rasau Rasau Peringkat 2 yang mempunyai kapasiti 700 juta liter air sehari dijangka siap pada 2030.

Kedua-dua projek itu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM3.42 bilion dan RM2.12 bilion. Pada masa sama, Air Selangor juga menjalankan projek Skim Bekalan Air Langat 2 Fasa 2 dengan kapasiti 1,130 juta liter sehari dan dijangka siap pada 2028 dengan anggaran kos sebanyak RM3.42 bilion. Manakala Skim Bekalan Air Labohan Dagang Fasa 2 berkapasiti 200 juta liter sehari pula dijangka siap pada 2029 dengan anggaran kos sebanyak RM480 juta.

Dengan penambahan projek-projek tersebut, ia bakal menjadikan jumlah keupayaan pengeluaran air berdasarkan reka bentuk loji rawatan air meningkat kepada 8,765 juta liter sehari pada 2030, berbanding 6,035 juta liter sehari sekarang.

Malah, margin simpanan air keseluruhan untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya juga dijangka meningkat daripada 12.02 peratus pada 2022 kepada 17.7 peratus menjelang 2030.

Masalah diatasi

Bagi menyelesaikan rintihan penduduk berkenaan masalah air, pelbagai langkah proaktif diambil untuk mengawal dan meminimumkan gangguan bekalan termasuk kerja penyelenggaraan ramalan, sistem pengesanan awal dan pelan mitigasi.

Bagaimanapun, gangguan tidak berjadual berkemungkinan masih berlaku, kebiasaannya disebabkan oleh masalah paip pecah.

Untuk pengetahuan semua, bekalan air terawat diagihkan melalui rangkaian paip sepanjang 30,422km yang mana panjang rangkaian paip ini adalah lebih daripada perjalanan pergi-balik dari Kuala Lumpur ke New York.

Air Selangor memberikan tumpuan kepada jajaran paip yang kini berusia 20 hingga 30 tahun dan memerlukan penggantian.

Menerusi program ini, lebih 6,000km paip jenis simen asbestos dengan anggaran sebanyak 150km panjang penukaran paip telah giat dilaksanakan setiap tahun.

Kerja-kerja penggantian paip memerlukan pelaburan yang besar untuk dilaksanakan. Semenjak 2016 hingga kini, Air Selangor telah memperuntukkan sejumlah RM984.41 juta bagi pelaksanaan Program Penggantian Paip.

Pada tahun 2022, 77.2 km saluran paip baharu telah dipasang, manakala RM113 juta kontrak penggantian paip telah dianugerahkan untuk kerja-kerja penggantian paip pada tahun tersebut.

Pada tahun 2023, sebanyak 135.65 km saluran paip baharu akan dipasang dengan peruntukan kos sebanyak RM186.97 juta. Ini menjadikan jumlah keseluruhan paip sepanjang 621.67 km telah diganti sejak tahun 2016.

Program ini amat penting untuk mengatasi masalah kebocoran kerana ketahanan paip akan merosot disebabkan oleh penuaan, faktor persekitaran dan perubahan tekanan air dalaman.

Memahami keperluan akses kepada air terawat yang bersih dan selamat adalah keperluan asas untuk semua, program ini adalah salah satu inisiatif yang sedang dijalankan secara proaktif bagi mengatasi masalah paip usang.

Selain itu, Air Selangor juga telah berjaya menurunkan Indeks Paip Pecah (Pipe Burst Index – PBI) tahun demi tahun. PBI adalah indikator pengukuran kejadian paip pecah bagi setiap 100km yang digunakan dalam industri.

Sejak 2016 sehingga 2022, Air Selangor telah menunjukkan penurunan PBI dengan baik dengan catatan bacaan iaitu 20.48 pada 2016, 18.93 pada 2017, 13.52 pada 2018, 9.61 pada 2019, 8.87 pada 2020, 6.37 pada 2021 dan 5.35 pada 2022. B

Baik pulih infrastruktur

Masalah gangguan bekalan air berlaku disebabkan Air Selangor mewarisi infrastruktur penuaan menyebabkan ia memerlukan pelaburan besar untuk pembaikan, penyelenggaraan dan penggantian.

Ditambah pula dengan pencemaran pihak ketiga yang kadangkala menyebabkan henti tugas loji rawatan air (LRA), kerja pembaikan berjadual atau tidak berjadual merupakan salah satu cabaran bagi Air Selangor untuk mengekalkan momentum penyampaian perkhidmatannya.

Bagi mengawal dan menjamin kualiti air terawat, Air Selangor pada 2022 telah melakukan lebih tiga juta analisis kualiti air di seluruh operasi syarikat.

Ujian itu dilakukan dua jam sekali di setiap LRA dan sejumlah 190,000 analisis dijalankan di makmal serantau setiap tahun termasuk ujian analisis fizikal, kimia dan mikrobiologi.

Air Selangor turut mengendalikan 1,163 stesen pensampelan kualiti air aktif untuk air terawat di seluruh kawasan pengedarannya di mana 692 berada di bawah pemantauan mandatori Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 401 dipantau oleh Air Selangor dan 70 dipantau bersama oleh KKM dan Air Selangor.

Sehingga Disember 2022, 291,525 analisis kualiti air terawat yang dijalankan di stesen pensampelan menunjukkan pematuhan 99.84 peratus terhadap Standard Kualiti Air Minuman (DWQS) KKM.

Bagi pembersihan paip pula, ia dilakukan secara berkala menggunakan kaedah pembersihan bertekanan dan tidak bertekanan untuk menghapuskan pemendapan, biofilm, dan skala mineral lembut yang boleh menjejaskan kualiti air.

INSIATIF LAIN:

  1. Mengendalikan 738 rumah pam aktif dan 1,618 takungan sehingga Disember 2022.
  2. 54 rumah pam dan 144 takungan telah dikenal pasti tidak digunakan dan dalam proses untuk pemulihan.
  3. Sehingga Disember 2022, sebanyak 11 rumah pam dan 53 takungan telah dipulihkan dan ditauliahkan.

PENCAPAIAN DAN KEJAYAAN AIR SELANGOR PADA 2022:

  1. Menyiapkan 95% penyelenggaraan pencegahan yang dirancang bagi aset.
  2. Menyiapkan 100% penyelenggaraan berasaskan keadaan yang dirancang bagi aset.
  3. Menyelesaikan 6,190 penyenggaraan pembetulan aset.
  4. Kerja-kerja penggantian paip telah siap untuk 261 titik panas.
  5. Menyiapkan kerja-kerja pemulihan untuk 54 takungan yang tidak digunakan daripada 144 yang dikenal pasti.
  6. Menyiapkan kerja-kerja baik pulih 11 rumah pam daripada 54 yang dikenal pasti.
  7. Membeli 14 unit lori tangki air untuk meningkatkan keupayaan operasi dan meningkatkan kecekapan pergerakan semasa gangguan perkhidmatan.

Diterbitkan oleh Sinar Harian pada 30 Jun 2023: Sinar Harian

Tag:

Operasi