Isu air: Penduduk dua kawasan tarik nafas lega

Masalah paip pecah dan tekanan air rendah yang membelenggu penduduk di kawasan Desa Pinggiran Putra, Kajang sejak 10 tahun lalu berakhir dengan penukaran saluran paip baharu oleh Air Selangor.

Pengerusi KRT Desa Pinggiran Putra Jalan 1, Datuk Seri Shamsool Yahya berkata, tindakan Air Selangor menukar paip itu wajar dipuji kerana penduduk akhirnya dapat menikmati air bertekanan tinggi yang memudahkan urusan seharian mereka.

Menurutnya, Aidilfi tri kali ini lebih bermakna kerana keperluan asas itu dapat dinikmati sepenuhnya oleh kira-kira 1,500 penduduk di situ.

“Kerja-kerja penukaran paip yang mengambil masa setahun bermula Februari tahun lalu itu memberi erti kepada penduduk di kawasan berkenaan.

“Tekanan air memang rendah, kadang-kadang bekalan air terputus selain kekerapan berlakunya paip pecah.

“Masalah paip pecah berlaku kerana paip lama tidak dapat menampung tekanan air tinggi dan disebabkan itu tekanan terpaksa dikurangkan hingga menyukar penduduk menjalankan aktiviti harian,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, tindakan pantas Air Selangor mengatasi masalah itu selepas aduan dibuat tahun lalu wajar diberi pujian.

“Satu majlis penghargaan oleh Komuniti Desa Pinggiran Putra 1 untuk Air Selangor telah diadakan pada 11 Mac lalu sebagai tanda kesyukuran atas kejayaan projek penggantian paip air di kawasan itu,” kata Shamsool.

Masalah sama turut diakui Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Teluk Gedung Indah, Klang, Zulkifl i Saad.

Beliau berkata, sebelum ini gangguan bekalan air kerap berlaku di kawasan mereka kerana kebocoran paip hingga menyukarkan penduduk menjalankan aktiviti harian.

“Kawasan perumahan dua tingkat ini mula diduduki sejak tahun 2001, jadi kebanyakannya masih menggunakan saluran paip lama menyebabkan ia tidak bertahan lama dan bocor.

“Masalah injap yang tidak berfungsi perlu dibaik pulih dan penutupan terpaksa dilaksanakan menyebabkan gangguan bekalan air berlaku,” jelasnya.

Satu majlis taklimat berkaitan projek penggantian paip air oleh pihak Air Selangor diadakan pada 1 Jun 2022 di perkarangan Surau Al Khauthar, Taman Teluk Gedung Indah, Klang.

Kualiti lebih baik

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Ir. Abas Abdullah berkata, sebelum projek di Desa Pinggiran Putra dilaksanakan, aduan berkenaan paip pecah daripada penduduk setempat kerap diterima.

Menurutnya, selepas projek ini siap tekanan air di kawasan ini menjadi lebih baik.

“Malah peningkatan kualiti air yang baik dapat disalurkan kepada penduduk. Projek ini bertujuan untuk menambahbaik tekanan air di samping mengurangkan gangguan paip pecah di kawasan tersebut,” jelasnya.

Ujarnya, penggantian paip bersaiz 200 milimeter adalah sepanjang 450 meter, manakala 150 milimeter untuk kepanjangan 3,300 meter.

Tambah Abas, dengan perlaksanaan projek itu ia dapat memberikan manfaat kepada penduduk serta penambahbaikan kepada infrastruktur sedia ada seperti jalan raya yang telah diturap baharu.

Bagi projek Taman Teluk Gedung Indah pula, menurut Abas ia merangkumi kerja-kerja penggantian paip sepanjang 400 meter dan telah siap dalam tempoh tiga bulan.

Projek ini bertujuan untuk menggantikan paip lama jenis AC (150 milimeter) kepada paip baru jenis HDPE (180 milimeter), menambahbaik tekanan air di samping mengurangkan gangguan paip pecah berdasarkan laporan yang diterima daripada penduduk sekitar.

Katanya, tekanan air akan menjadi lebih baik serta jaminan kualiti air yang bersih untuk pengagihan kepada pengguna.

“Projek ini bertujuan untuk mengatasi masalah tekanan air rendah di kawasan sekitar Jalan Kebun khususnya masalah tekanan air rendah di Taman Sama Gagah, Teluk Gedung, Klang.

“Pelaksanaan projek ini juga adalah sebagai satu inisiatif yang diambil oleh pihak Air Selangor untuk memberi jaminan bekalan air bersih dan stabil kepada pengguna di samping menurunkan kadar NRW di negeri Selangor,” ujar Abas.

Jelasnya, projek dengan kos keseluruhannya telah menelan belanja kira-kira RM3 juta melibatkan pemasangan paip baharu bersaiz 180 milimeter diameter jenis HDPE sepanjang 400 meter.

“Sebelum perlaksanaan projek ini, penduduk di sekitar Taman Sama Gagah mengalami masalah tekanan air rendah terutama pada waktu puncak kerana keadaan paip yang terlalu uzur.

“Melalui perlaksanaan projek ini, ia akan memberi manfaat kepada lebih 400 pengguna dan selepas projek ini siap, tekanan air di kawasan ini telah meningkat seperti yang dirancangkan.

“Diharapkan melalui perlaksanaan projek penggantian paip ini dapat mencapai objektifnya dalam membekalkan air terawat yang bersih dan selamat kepada pengguna di samping menambahbaik tekanan air sedia ada,” ujarnya.

Diterbitkan oleh Sinar Harian pada 14 Mei 2023: Sinar Harian

Tag:

Operasi