Disiarkan pada
Air Selangor tingkat kecekapan operasi untuk manfaat pengguna
Penyertaan syarikat dalam LUOW memacu inovasi, tetapkan piawaian baharu industri

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) kini menempah nama sebagai pengendali perkhidmatan air pertama di Malaysia yang diterima masuk ke dalam rangkaian terkemuka dunia, Leading Utilities of the World (LUOW) ketika sesi persidangan di Global Water Summit (GWS) 2025 di Paris, baru-baru ini.
Pencapaian tersebut selari dengan visi syarikat berkenaan untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali, berkata penyertaan dalam LUOW menyuntik semangat untuk terus memacu inovasi serta menetapkan piawaian baharu industri.
Tambahnya, visi itu dipandu melalui beberapa aras termasuk mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW).

Kecemerlangan Operasi
Pada tahun 2024 kadar NRW adalah sebanyak 27 peratus sekali gus menjimatkan kira-kira 298.36 juta liter air setiap hari. Air Selangor telah menyasarkan pengurangan kadar NRW kepada 25 peratus menjelang 2030.
Selain itu, sehingga Mac 2024, menerusi Program Penggantian Paip, Air Selangor telah berjaya menggantikan 636.55 kilometer paip lama. Syarikat tesebut menyasarkan untuk menggantikan 300 kilometer paip setiap tahun tahun dan meningkat kepada 400 kilometer menjelang 2034.
Usaha penggantian paip tersebut telah membolehkan Air Selangor mencapai Indeks Paip Pecah (PBI) sebanyak 3.25 kes pecah paip setiap 100 kilometer iaitu pengurangan daripada 4.18 kes setiap 100 kilometer pada 2023. Kadar ini jauh lebih rendah daripada penanda aras antarabangsa iaitu 13 kes setiap 100 kilometer.
Berkenaan pematuhan dan pemantauan kualiti air dan ujian pula, Adam Saffian berkata Air Selangor mencapai 99.93 peratus pematuhan Piawaian Kualiti Air Minuman Kementerian Kesihatan (KKM) pada tahun 2023. Ia berdasarkan ujian kualiti air yang dibuat pada setiap dua jam di semua 34 loji rawatan air (LRA).
Teknologi maklumat dan sistem air pintar pula katanya, pada 2019 Air Selangor menubuhkan Pusat Kawalan Pintar (ICC) yang menyepadukan parameter aset strategik utama seperti aliran, tekanan, paras takungan, status pam dan keupayaan SCADA (Supervisory Control and Data Acquisition). Sistem tersebut telah disepadukan dengan Model Hidraulik Dalam Talian untuk pemantauan masa nyata dan ramalan sistem pengagihan air,” katanya.
Pengalaman Terbaik kepada Pengguna
Selain itu Adam Saffian berkata, penanda aras lain bagi visi untuk menjadi penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang 2030 adalah mempertingkatkan aplikasi mudah alih dan laman web.
“Air Selangor melancarkan aplikasi mudah alih dan laman web yang telah ditambah baik pada Disember 2024 untuk memberikan pengguna akses lebih baik kepada pengurusan akaun air, pembayaran bil dan aplikasi perkhidmatan,” katanya.
Katanya, ketika ini Air Selangor mengutamakan tiga projek strategik untuk tahun 2025-2026.
“Pertama, keterjaminan air melalui kepelbagaian bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber air mentah konvensional dengan melabur dalam bidang air pulih guna, penyahgaraman, penuaian air hujan dan pemuliharaan air serta penyelesaian rawatan terdesentralisasi.
“Kedua, mengukuhkan kesalinghubungan air kerana ia penting bagi memastikan bekalan air yang konsisten dan tidak terganggu di seluruh wilayah terutamanya ketika permintaan tinggi atau semasa kecemasan.
“Ketiga, kemampanan kewangan kerana ia asas untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang Air Selangor,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut menambah baik cara beroperasi dengan mengurangkan kos, menjadi lebih cekap dan mengurangkan kehilangan air, antaranya menerokai perkongsian dengan syarikat swasta untuk membiayai projek utama melalui model BOT, serta mengkaji model pembiayaan baharu seperti Kontrak Berasaskan Prestasi yang memberi ganjaran kepada hasil.
Menurut Adam Saffian lagi, perbelanjaan modal (Capex) Air Selangor sebanyak RM35.42 bilion dalam tempoh 30 tahun tertumpu kepada menaik taraf kemudahan air, membina loji rawatan air baharu dan meningkatkan margin rizab air iaitu sekitar 18.6 peratus ketika ini, kepada 20 peratus menjelang 2030.
Demi Masa Depan yang Mampan
Manakala menurut beliau lagi, daripada segi penyesuaian iklim, Air Selangor aktif meneroka sumber air alternatif dan pelbagai, termasuk air pulih guna, penyahgaraman dan loji rawatan padat dan mudah alih, mewujudkan sistem desentralisasi yang akan melengkapkan loji pemusatan sedia ada.
“Pelaburan ini memberi tumpuan kepada pembinaan aset air baharu, menaik taraf infrastruktur sedia ada, meningkatkan kecekapan operasi dan meneroka sumber air baharu,” katanya.
Air Selangor turut berhasrat membina LRA yang padat dan mudah alih untuk meningkatkan kecekapan pengagihan air di beberapa lokasi strategik. Ini termasuk Labohan Dagang dengan kapasiti 100 juta liter sehari (JLH) dan 300 JLH untuk akan datang dan aliran air lebihan Tasik Putrajaya dengan kapasiti 50 JLH.
“Sistem padat dan mudah alih ini direka bentuk untuk mengekstrak air mentah dari Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) terutamanya yang kurang digunakan atau belum dibangunkan sepenuhnya supaya ia berfungsi sebagai penampan penting semasa tempoh cuaca ekstrem dan gangguan bekalan,” katanya.
“Pada masa sama, kami meningkatkan usaha pendigitalan melalui analisis ramalan dan ditetapkan, kembar digital dan aplikasi super yang membantu kami beroperasi lebih bijak dan berkesan.
“Kami berharap segala usaha ini akan dapat membantu bekalan air terawat yang bersih dan selamat secara berterusan kepada semua, di samping memastikan segala aspek kelestarian dititikberatkan demi manfaat para pengguna kami kini dan untuk generasi akan datang.”
Diterbitkan oleh Berita Harian pada 12 Jun 2025.