Posted on
Air Selangor Utama Perkhidmatan Cekap: Senggara Aset Jamin Bekalan Air Berterusan
Air Selangor sentiasa memberi keutamaan kepada penambahbaikan dan penyenggaraan aset.
Oleh Suliati Asri (suliati@hmetro.com.my)
Sumber air terawat yang bersih dan selamat sangat penting dalam kehidupan seharian kerana ia tidak hanya untuk diminum tetapi juga aktiviti harian.
Menyedari hakikat itu, sebagai penyedia perkhidmatan air terbesar negara, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memainkan peranan penting dalam pengagihan air terawat yang bersih dan selamat kepada 9.3 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur, dan Putrajaya melalui rangkaian paip sepanjang 30,886 kilometer.
Bukan itu saja, bagi memastikan bekalan air bersih dan selamat ini diagihkan secara berterusan, Air Selangor juga sentiasa memberi keutamaan kepada penambahbaikan dan penyenggaraan aset.
Pentingnya kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset
Seperti kereta, ia perlu disenggara bagi memastikan prestasinya sentiasa dalam keadaan baik, sekali gus mengelak kerosakan yang tidak dijangka.
Begitu juga dengan semua aset Air Selangor. Ini kerana setiap aset mempunyai jangka hayat yang tersendiri.
Ia perlu disenggara sebelum mencapai tempoh hayat bagi mengelakkan sebarang kerosakan yang tidak diduga.
Justeru, dengan pelaksanaan kerja penyenggaraan aset seperti loji rawatan air, paip, kolam takungan perkhidmatan, rumah pam dan stesen persampelan air secara proaktif ia dapat memantapkan lagi perkhidmatan Air Selangor.
Selain itu, dengan kerja-kerja penyenggaraan ini juga Air Selangor dapat mengelak insiden tidak diingini berlaku secara tiba-tiba yang mungkin menyebabkan gangguan air tidak berjadual seterusnya menjejaskan pengguna.
Ia juga membolehkan Air Selangor mengenal pasti isu berpotensi sebelum ia menjadi masalah besar dan mencegah kerja pembaikan kecemasan yang mendesak.
Langkah itu juga dapat mengelakkan insiden paip pecah di luar jangkaan, sekali gus memastikan aktiviti harian pengguna tidak terganggu.
Proses kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset
Walaupun kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset ini penting, namun ia akan menyebabkan gangguan bekalan air sementara sekiranya melibatkan kerja-kerja pembaikan berskala besar.
Oleh yang demikian, sebelum kerja-kerja penyenggaraan berjadual ini dilaksanakan, Air Selangor perlu membentangkan pelan kerja yang komprehensif kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara ( SPAN ).
Selepas pelan terbabit diluluskan, Air Selangor akan memaklumkan kepada pengguna dalam tempoh 14 hari sebelum kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset dimulakan.
Pemberitahuan ini penting bagi membolehkan pengguna yang terjejas dapat menyimpan bekalan air secukupnya mengikut keperluan isi rumah mereka.
Sepanjang proses kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan dilaksanakan, Air Selangor perlu mengemaskini jadual kerja ini tepat pada masanya.
Ini termasuk status terkini kerja-kerja yang dilaksanakan, anggaran masa pemulihan dan sebagainya.
Langkah itu juga membolehkan pengguna untuk mengetahui perkembangan terkini gangguan bekalan air di kawasan mereka menerusi semua saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti laman web waterupdates.airselangor.com, aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X.
Semasa gangguan air berjadual atau tidak berjadual berlaku, Air Selangor akan menyediakan bantuan bekalan air alternatif melalui lori tangki air yang digerakkan ke kawasan-kawasan terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis serta upacara pengebumian.
Penambahbaikan operasi bantu menjamin bekalan air berterusandan mampan
Dalam menuju visi menjadi penyedia perkhidmatan air terulung di Asia menjelang 2030, Air Selangor terus komited memberikan pengalaman terbaik kepada pengguna.
Melalui usaha berterusan, matlamat ini dapat dicapai untuk meningkatkan margin rizab air dan meningkatkan kecekapan operasi di loji rawatan.
Pada masa sama, Air Selangor berharap orang ramai dapat memainkan peranan dalam penggunaan lebih cekap dan berhemah bagi memastikan pemuliharaan dan perlindungan sumber air
mentah.
Pembabitan pengguna secara aktif dalam melapor kebocoran paip atau meter juga amat digalakkan supaya Air Selangor dapat mengenalpasti dan memperbaiki kebocoran dengan lebih cepat.
Para pengguna boleh melaporkan sebarang kejadian paip pecah atau bocor menerusi ciri Laporan Kebocoran di dalam aplikasi Air Selangor dengan mudah.
Usaha dan kerjasama orang ramai ini dapat mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (Non -Revenue Water ) dalam rangkaian pengagihan bagi memastikan bekalan air yang mampan.
Diterbitkan oleh Harian Metro pada 18 Mei 2024.