Posted on

Inisiatif ‘Sesama Mara’ – 24 November 2021

Sejajar dengan prinsip Sesama Mara iaitu ‘Bersama-sama Kita Mara’, Air Selangor terus membuka peluang kepada mereka yang layak untuk meneroka kerjaya baharu menerusi siri keempat Kursus Kemahiran Perantis Tukang Paip.

Di bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Sesama Mara Air Selangor, kursus yang dijalankan pada 15 sehingga 19 November 2021 merupakan siri yang terakhir untuk tahun ini. Seramai 43 orang telah menghadiri kursus ini, yang dikendalikan dengan kerjasama Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sejak ia dilancarkan.

Sebagai tanda sokongan Air Selangor kepada mereka yang terjejas akibat COVID-19, program ini dilaksanakan untuk membantu dan memberi suntikan semangat kepada individu untuk memperoleh sumber pendapatan dengan mengasah kemahiran dalam bidang ini dari segi pemasangan, penyenggaraan dan pembaikan paip air dalaman mengikut spesifikasi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Encik Revennithy salah seorang peserta daripada kursus tersebut berkata “Kursus ini sangat bagus, terima kasih kepada Air Selangor kerana menganjurkan program sebegini yang membantu para peserta memperoleh ilmu yang sangat bermanfaat dan kursus ni seharusnya diteruskan pada masa akan datang”.

Peserta yang hadir turut menerima sebuah kotak alat perkakas untuk digunakan ketika menjalankan tugas. Di akhir program ini, mereka yang hadir menerima sijil penyertaan, sijil pencapaian ABM dan Kad Hijau CIDB untuk mengiktiraf kemahiran mereka.

#AirSelangor #SesamaMara #KitaJagaAir #JoyInEveryDrop

Tags:

Sesama Mara