Disiarkan pada

Membawa keceriaan kepada komuniti

Kami berbesar hati menerima kunjungan wakil rakyat dan ketua kampung pada lawatan tapak kerja projek Skim Bekalan Air Labohan Dagang Fasa 1 di Telok Panglima Garang, Kuala Langat baru-baru ini. Lawatan tapak kerja tersebut telah diketuai oleh YB Ir. Izham Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani Negeri Selangor.

Di bawah skim tersebut, projek sistem agihan dan kolam menara dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2024. Projek ini bakal menyediakan sistem infrastruktur bekalan air yang mampan serta mempertingkatkan margin simpanan air bagi memenuhi keperluan permintaan pengguna yang semakin meningkat disebabkan pembangunan di wilayah Kuala Langat.

Bermula pada 2016, pembinaan skim bekalan air ini dimulakan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Selangor dan kini disambung oleh Air Selangor sejak April 2022. Projek ini akan meningkatkan kecekapan sistem bekalan air sedia ada bagi memberikan pengalaman terbaik kepada 11,000 akaun pengguna di kawasan Telok Panglima Garang, Sijangkang dan Banting.