Posted on

Pelancaran ‘Sesama Mara’

Program CSR Air Selangor ‘Sesama Mara’ yang dilancarkan pada Jun 2020 membawa makna ‘Bersama-sama kita mara’, merupakan satu program inisiatif akar umbi untuk menyumbang kepada komuniti kurang berkemampuan di samping mengeratkan hubungan dengan komuniti tempatan, persatuan penduduk, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), rakan korporat serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Sepanjang tahun 2020, Program Sesama Mara Air Selangor telah berjaya membantu individu-individu dan keluarga kategori B40 melalui inisiatif ‘Box Of Hope’, dengan kerjasama bersama Village Grocer dan Yayasan Food Bank Malaysia. Menerusi inisiatif ini, Air Selangor telah menyediakan kotak ‘Box Of Hope’ di 5 lokasi Village Grocer di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Cyberjaya. Orang ramai dijemput untuk sama-sama menyumbang dengan membuat pembelian barangan keperluan asas makanan dan meletakkannya di dalam ‘Box Of Hope’ yang telah disediakan bagi diagihkan kepada mereka yang tidak bernasib baik.

Program dan inisiatif lain yang turut dilaksanakan oleh Air Selangor adalah penganjuran Kursus Kemahiran Perantis Tukang Paip dengan kerjasama Akademi Binaan Malaysia (ABM), Perkhidmatan Pembaikan Paip Dalaman untuk golongan yang kurang berkemampuan, Program kerjasama dengan Komuniti Tukang Jahit (KTJ) dan KL Sketch Nation bagi membantu golongan wanita B40 serta Program Memperkasa Pembelajaran Dalam Talian dengan sumbangan komputer riba dan data internet bagi memperkasa pembelajaran secara dalam talian khususnya Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kepada anak warga Air Selangor yang terpilih.

Semoga sumbangan yang telah dihulurkan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang memerlukan, lebih-lebih lagi ketika negara kita masih lagi dilanda pandemik COVID-19. Adalah menjadi hasrat Air Selangor untuk terus mengadakan lebih banyak program dan inisiatif sebegini dengan kerjasama bersama pelbagai pihak bagi meringankan beban individu-individu dan komuniti yang terjejas pada masa akan datang.

Untuk maklumat lanjut mengenai program dan inisiatif Sesama Mara, anda boleh layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com/media/sesama-mara/

#AirSelangor #SesamaMara

Tags:

Sesama Mara