Masa depan bekalan air Lembah Klang: Inisiatif penjimatan air perlu sokongan pengguna

Kita sering diingatkan tentang pentingnya menabung untuk masa depan serta berjimat cermat sebagai persediaan menghadapi situasi kecemasan.

Selain itu, tip berjimat cermat dalam perbelanjaan juga memainkan peranan kerana pengurusan kewangan begitu penting dalam kehidupan hari ini.

Tetapi, bagaimana pula dengan keperluan paling asas, iaitu sumber air bersih? Berapa ramai di antara kita yang benar-benar mengutamakan penjimatan air demi keperluan masa depan?

Lebih-lebih lagi bagi pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang mempunyai kebergantungan tinggi terhadap sumber air terawat untuk menjalani rutin harian.

Bahkan, kepesatan pembangunan yang sedang berlaku turut memberikan kesan langsung terhadap kadar penggunaan sumber air yang dikongsi bersama.

Untuk pengetahuan umum, purata penggunaan air domestik pada tahun 2023 di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah 241 liter per kapita sehari (LCD) seperti yang dilaporkan di dalam laporan Penggunaan Air Domestik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Penggunaan ini ternyata lebih tinggi jika dibandingkan dengan negaranegara Asia lain seperti Singapura (151 LCD), Thailand (193 LCD) China (179 LCD).

Mengambil kira faktor tersebut, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), penyedia perkhidmatan air terbesar di Malaysia yang memberi perkhidmatan kepada lebih 9.62 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kini mempergiatkan usahanya untuk menggalakkan pemuliharaan air dalam operasi dan infrastrukturnya.

Salah satunya adalah dengan menggalakkan pemasangan bidal air bagi membantu pengguna menjimatkan sehingga 20 peratus penggunaan air apabila dipasang di semua peralatan air.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Adam Saffian Ghazali (dua dari kiri) ketika menghadiri satu program penggantian pili cekap air di masjid.

Bidal air ini diedarkan secara percuma oleh Air Selangor yang turut mengadakan demonstrasi ringkas dan memberi taklimat mengenai pengggunaanya menerusi pelbagai aktiviti libat urus bersama-sama segenap lapisan masyarakat dan komuniti.

Selain itu, Air Selangor juga melaksanakan penggantian pili air di masjid kepada pili cekap air sebagai langkah untuk mengurangkan pembaziran air.

Program tersebut juga bertujuan memastikan pemuliharaan air diamalkan menerusi pendekatan yang lebih holistik.

200 juta liter air fizikal hilang setiap tahun

Inisiatif penjimatan air tidak akan bermakna tanpa penambahbaikan infrastruktur yang merupakan komponen utama dalam penyaluran sumber air kepada pengguna.

Berdasarkan data Air Selangor, kira-kira 200 juta liter air fizikal hilang setiap tahun disebabkan oleh keadaan aset yang semakin merosot.

Untuk perbandingan, jumlah kehilangan tersebut mampu menampung penggunaan 80,000 tangki rumah dengan kapasiti 2,500 liter setiap satu, sekali gus menjadi kerugian besar terhadap sumber air yang sepatutnya dinikmati rakyat.

Oleh itu, peningkatan usaha dalam penggantian paip serta pengesanan kebocoran adalah penting untuk mengurangkan kadar Air Tidak Terhasil (NRW).

Di bawah program NRW, tiga komponen utama dilaksanakan iaitu program penggantian paip, strategi pengurangan kerugian fizikal dan pengurangan kerugian komersial.

Sehubungan itu juga, Air Selangor akan mempertingkatkan usahanya dengan menggandakan usaha penggantian paip daripada 150 kilometer (km) setahun kepada 300 km setahun bermula dari 2024, dan 400 km setahun mulai 2034 dan seterusnya.

Ini selari dengan sasaran Air Selangor untuk mengurangkan kadar NRW pada kadar 27.5 peratus menjelang 2025 dan seterusnya kepada 25 peratus menjelang 2030.

Namun, setiap usaha yang dilakukan Air Selangor pastinya tidak akan bermakna tanpa sokongan dan kesedaran para pengguna.

Justeru, usaha penjimatan air yang menjadi sumber penting untuk kehidupan merupakan tanggungjawab setiap lapisan masyarakat.

Ini bagi memastikan generasi akan datang dapat menikmati sumber bekalan air yang mampan.

Rebut peluang menangi dana RM15,000

Oleh yang demikian, bagi mewujudkan kesedaran terhadap pemuliharaan air khususnya dalam golongan kanak-kanak, Air Selangor berkerjasama dengan jenama animasi tempatan ‘Boboiboy’ melalui Animonsta Studios (MONSTA) bagi melancarkan peraduan bertemakan ‘Peraduan Misi Jimat Air Bersama BoBoiBoy’.

Peraduan tersebut terbuka kepada semua sekolah rendah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, dengan penglibatan murid berumur tujuh hingga 12 tahun.

Inisiatif tersebut bertujuan mendidik amalan pemuliharaan air melalui animasi dan cerita kanak-kanak secara berterusan.

Peserta dikehendaki berkongsi pendapat mereka tentang perubahan iklim secara kreatif menerusi video.

Pemenang berpeluang muncul dalam video pendek Air Selangor x BoBoiBoy dan menerima dana bernilai sehingga RM15,000 untuk mencantikkan kawasan sekolah mengikut pemintaan yang disenaraikan.

SYARAT-SYARAT PERADUAN:

  • Terbuka kepada sekolah rendah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Penyertaan murid berumur 7-12 tahun.
  • Peserta perlu kongsi pendapat mengenai perubahan iklim menerusi rakaman video secara kreatif.
  • Hantar video melalui platform media sosial dengan tag Air Selangor atau menggunakan tanda pagar kempen (#AirSelangor #AirSelangorXBoBoiBoy #MisiJimatAirBersamaBoBoiBoy).
  • Serahkan video sebelum 3 Disember 2024.
  • Layari www.airselangor.com/airselangorxboboiboy untuk maklumat lanjut.

Inisiatif penjimatan air oleh Air Selangor:

  1. Penglibatan komuniti: Memperkasa individu dengan pengetahuan serta alat praktikal untuk mengurangkan pembaziran air dalam kehidupan seharian, sambil mempromosikan budaya pemuliharaan dan memastikan kelestarian sumber air.
  2. Mempromosi bidal air: Bidal air diedarkan secara percuma disertai dengan demonstrasi ringkas tentang cara menggunakan alat tersebut di rumah.
  3. Penggantian pili cekap air di masjid: Bagi mengurangkan pembaziran air dan memastikan pemuliharaan air diamalkan secara holistik, termasuk tempat ibadat.
  4. Program kesederan di sekolah dan universiti: Bekerjasama dengan institusi pendidikan melalui program jangka pendek dan panjang untuk menyemai kesedaran mengenai kepentingan penggunaan air yang mampan dalam kalangan generasi muda.
  5. Perkongsian & kerjasama: Bekerjasama dengan agensi seperti Perbadanan Putrajaya dan Hospital Sungai Buloh dengan menyediakan data tentang penggunaan air untuk menyokong program dan inisiatif pemeliharaan alam sekitar.
  6. Buku Panduan Air: Menerbitkan Buku Panduan Air dengan kerjasama antara pakar di Air Selangor dan ahli akademik dari Universiti Malaya untuk menggalakkan penggunaan air secara mampan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Diterbitkan oleh Sinar Harian pada 21 November 2024.