Disiarkan pada

RASAU – Peringkat Pertama

Projek Skim Bekalan Air Rasau Peringkat Pertama, yang bakal mewujudkan ekosistem bekalan air yang lestari serta menampung keperluan air bersih yang menjadi pemangkin pembangunan di Selangor apabila siap sepenuhnya pada 2025, telah dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor, dalam majlis pecah tanah yang berlangsung di tapak projek, Kampung Seri Cheeding, Banting siang tadi.

Turut hadir di majlis pecah tanah tersebut ialah YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Tuan Ir. Izham Hashim, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam dan Pemodenan Pertanian & Industri Asas Tani Negeri Selangor, serta Ir. Abas Abdullah, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor.

Skim Bekalan Air Rasau ini adalah salah satu inisiatif jangka masa panjang Air Selangor untuk memastikan bekalan air yang lestari kepada rakyat negeri Selangor, terutamanya di daerah Klang. Dengan kapasiti penghasilan air terawat yang bersih dan selamat kira-kira 700 JLH, Skim Bekalan Air Rasau Peringkat Pertama ini merangkumi sembilan bekas kolam perlombongan bijih timah dengan keluasan 489 hektar yang berfungsi sebagai Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) dwi-fungsi pertama di negara ini dengan keupayaan pembekalan air serta tebatan banjir. Selain itu, skim ini turut terdiri daripada komponen sistem perkhidmatan air melibatkan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Rasau dan sistem agihan bekalan air.

#AirSelangor